
Apabila umur meningkat, usia lari, fizikal, energy dan suara seseorang insan yang mengabdikan diri sebagai seorang penyanyi juga pasti akan mengalami perubahan. Itu adalah hukum alam. Semakin tua mengejar diri, yang dikecapi ketika muda hanya akan tinggal sebagai memori. Senario ini bukan sahaja terzahir dalam karier seorang penyanyi, bahkan hidup ini sendiri jadilah apa sahaja sekalipun, kegahan zaman muda pasti akan menjadi sejarah peribadi seiring meningkatnya usia.
Lalu, tatkala ramai yang mengatakan Ziana Zain sudah tidak boleh menyanyi. Ziana Zain sudah tidak mampu membawakan nada lagu tinggi. Vokal Ziana Zain sudah hancur. Ziana Zain duduk rumah jaga anak lagi bagus. Dan pelbagai tulisan dan kritikan daripada netizen menghujani rangkaian laman sosial, tidak pernah sekalipun penyanyi, pelakon, dan selebriti berstatus ibu kepada empat orang cahaya mata ini melatah.
Populariti, kemegahan, berada di puncak, menggenggam anugerah, mengharumkan nama diri, menempa nama di persada antarabangsa, segalanya sudah diraih oleh Ziana Zain sebermula awal pembabitan sehinggalah awal zaman 2000-an. Tidak ada apa-apa yang perlu dibuktikan Ziana Zain lagi kepada sesiapapun juga saat ini, kerana keberadaannya dalam dunia seni suara pada usia 48 tahun ini adalah kerna kecintaan dan sokongan tidak berbelah bahagi peminat setianya.
Konsert solonya di Melaka pernah dibatalkan tidak berapa lama dahulu, begitu juga persembahan minggu setiausaha membabitkan Ziana, Ning Baizura dan Noryn Aziz di Johor Bharu juga pernah dibatalkan. Dan hampir-hampir sahaja Konsert High Note 2016 yang melibatkan Ziana Zain, Jaclyn Victor dan Azlan Typewriter menerima nasib yang sama. Namun, memandangkan kredibiliti Istana Budaya, konsert ini tetap diteruskan meskipun Ziana Zain bersama Jac dan Azlan terpaksa menelan kepahitan.
Konsert yang diumumkan sekitar dua ke tiga bulan lalu, hambar tanpa promosi. Harga tiket yang ditetapkan penganjur mahal. Tidak ada sebarang latihan artis yang terbabit dengan konsert bersama pemuzik sehinggalah dua jam sebelum konsert bermula pada malam pertama. 1 jam kelewatan bermula konsert malam pertama sehingga menimbulkan kekecohan. Konsert malam pertama hanya dianggap sebagai 'raptai' sahaja, kerana langsung tiada latihan bersama pemuzik. Ziana dan Jac tidak menyanyikan rangkaian lagu popular tetapi memilih lagu yang biasa dan boleh pemuzik bawakan. Ziana terpaksa menyanyikan 5 lagu sahaja sedangkan digembar-gemburkan sebelum ini dengan 10 lagu. Penonton konsert pertama dibenarkan datang pada malam ketiga secara percuma. Harga tiket pada konsert ketiga diberikan diskaun sehingga 50%.
Itulah yang terjadi serba ringkas dalam meniti Konsert High Note 2016. Konsert yang sepatutnya menjadi memori manis sementelahan terlalu lama tidak hadir dengan sebarang persembahan besar, menjadi mimpi ngeri buat Ziana Zain apabila Konsert High Note 2016 menjadi konsert terburuk pernah dijayakan dalam tempoh 3 dekad bergelar seorang penyanyi dan penghibur.
Tetapi kata orang hanya jauhari yang menenal manikam. Ziana Zain ternyata menjadi penyelamat Konsert High Note 2016 apabila sikap profesional yang ditunjukkan berjaya mengubat kekecewaan harapan peminat setianya terhadap Konsert High Note 2016. Aksi lincah, kelantangan vokal, kemantapan tenaga dalam persembahan, emosi dan ekspresi lewat lagu-lagu puitis, celoteh, gurau-senda dan turun ke tempat duduk penonton dan melayan permintaan peminat dengan medley ringkas seleksi lagu-lagu popularnya membuktikan Ziana Zain merupakan seorang insan seni agung!
Seorang insan seni yang agung pasti tahu menghargai peminat setianya. Kelompok individu yang menyokong rapat perjalanan karier, sanggup mengambil cuti, melalui perjalanan jauh, membelanjakan wang untuk perjalanan, penginapan dan tiket sudah tentunya wajib perlu dihargai. Apatah lagi mereka inilah tulang belakang seni kerjaya. Lalu tidak hairan apabila Ziana Zain sering menuturkan peminat tidak dianggap sebagai peminat semata bahkan lebih kepada adik-adiknya!
Dan tenyata lewat komen-komen positif berbaur kegembiraan, kepuasan, yang ditulis, dicoret dan dicatat lewat laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter oleh peminat diva kening terjongket ini pastinya akan memberikan kuntuman senyum buat Ziana Zain walaupun jauh di sudut hatinya pasti hadir ralat dengan kekurangan dalam Konsert High Note 2016 angkara sikap penganjur yang tidak bertanggungjawab.
Kepada netizen, jika anda masih beranggapan bahawa Ziana Zain semput dan pancit, teruskan madah berhelah kalian, kerna sokongan peminat setianya tidak akan berpisah jua, dan kekal, bersama akhirnya...